Wednesday, September 29, 2010


Ya Allah, Aku Mahu Berubah

Aku berasal dari keluarga yang serba sederhana.
Alhamdulillah, aku dilahirkan oleh ibuku yang beragama Islam.
Aku diberi didikan yang sempurna dalam pelajaran.
Namun, aku kekurangan satu perkara yang amat besar dan penting buat diriku, iaitu didikan agama.
Bukan maksudku ibu dan bapaku tidak mendedahkan langsung mengenai agama Islam kepadaku.
Mereka mengajarku cara mengerjakan solat, berpuasa di bulan Ramadhan dan perkara-perkara asas yang perlu aku tahu sebagai seorang Islam.
Akan tetapi, kami sekeluarga tidak mengerjakan ibadah yang terpenting sebagai hamba-Nya, iaitu solat yang merupakan tiang agama.
Lalu aku membesar sebagai seorang yang boleh dikatakan bijak dalam pelajaran, tetapi tidak mengerjakan solat.
Sewaktu bulan Ramadhan, kami sekeluarga berpuasa, kami tunaikan zakat, tetapi kami tidak menunaikan solat. Bapa dan abangku yang sepatutnya wajib menunaikan solat Jumaat, tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Hari demi hari, kami hanyut dengan kenikmatan dunia.
Kakakku yang sudah menjadi seorang remaja,kini mula membuka auratnya. Memakai pakaian yang ketat, nipis dan menampakkan bentuk tubuh serta tidak memakai tudung sepertimana digariskan syariat.
Pergaulannya pula semakin bebas walaupun berkali-kali ditegur oleh kedua ibubapaku.
Hari demi hari, aku juga meningkat dewasa. Kini, aku berada di sekolah menengah.
Aku sentiasa menjadi pelajar terbaik tingkatan di sekolahku. Aku gembira kerana dapat membanggakan keluargaku terutamanya ibu dan bapaku.
Oleh kerana suasana kampungku di mana remaja-remaja bergaul bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya, aku juga sebagai hamba Allah yang amat jahil tidak lepas daripada melakukan perkara yang sama.
Aku tidak menutup aurat dengan tidak memakai tudung. Kawan-kawanku pula ramai yang memakai tudung, akan tetapi memakai pakaian yang ketat dan berlengan pendek.
Suatu hari, aku dan kakakku menyertai sebuah kelab kesenian dan kebudayaan, di mana kami semua diajar pelbagai jenis tarian tradisional yang terdapat di Malaysia.
Kami berdua semakin bergiat aktif dalam bidang ini dan melakukan pelbagai persembahan di seluruh Malaysia.
Aku dan kawan-kawanku sangat rapat antara satu sama lain, boleh dikatakan kami sudah seperti adik-beradik.
Namun, semasa aku berada di Tingkatan 4, aku tidak terlibat lagi dalam kelab kebudayaan itu. Semakin lama, aku semakin tertarik dengan imej bertudung.
Lalu aku mula memakai tudung dan memakai pakaian yang berlengan panjang. Walaubagaimanapun, aku masih tidak mengerjakan solat.
Aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM.
Aku amat gembira kerana aku sebenarnya seorang yang sangat pemalas dan tidak suka mengulangkaji pelajaran.
Kemudian, aku mendapat tawaran ke sebuah kampus sebagai pelajar program satu tahun jurusan Sains Fizikal. Aku menerima tawaran itu.
Dan memang inilah takdirku.
Aku mula tertarik dengan keindahan Islam.
Ramai sahabat-sahabatku yang menutup aurat dengan sempurna dan mengerjakan ibadah solat di masjid.
Kehidupan di sini memang berjaya mengubah diriku menjadi seorang hamba Allah yang taat kepada perintah-Nya.
Aku mula mengerjakan solat. Memakai tudung yang labuh menutupi dada, sesuai dengan syariat Islam.
Aku bangun jam 5 pagi supaya aku sempat mandi dan bersiap-siap untuk ke masjid. Solat berjemaah juga semakin hari semakin ku gemar melakukannya.
Solat Maghrib dan Isya' juga ku tunaikan secara berjemaah di masjid.
Pendek kata, jika aku berkesempatan untuk ke masjid, aku akan solat berjemaah di sana.
Aku sentiasa berusaha menambahkan ilmuku mengenai Islam.
Aku amat bersyukur kerana diberi hidayah dan dibukakan pintu hatiku.
Kini aku sedar, betapa indahnya Islam itu dan betapa mudahnya perintah Allah yang mesti kita laksanakan sekiranya kita benar-benar ikhlas untuk mengerjakannya.
Namun, aku juga berasa sedih yang amat sangat. Aku bakal meninggalkan kampus yang telah meninggalkan banyak kenangan dan kesan terhadap diriku.
Aku mula berasa bimbang.
Bimbang jika diriku terpedaya lagi dengan hasutan syaitan memandangkan keluargaku masih seperti dulu. Aku pulang juga ke rumahku.
Aku menjangkakan, dugaan demi dugaan terpaksaku tempuhi.
Aku amat sedih kerana aku takut keluargaku tidak dapat menerima diriku jika aku menyatakan hasratku untuk berubah. Berubah dengan sentiasa memakai tudung labuh dan ke masjid untuk solat berjemaah.
Aku sangat mengerti akan perangai mereka yang mudah salah faham jika perkara itu melibatkan agama. Aku hanya mampu berdoa agar Allah memberi hidayah kepada mereka, terutamanya kepada kedua ibubapaku.
Setiap hari, aku hanya mampu menangis mengenangkan nasibku ini dan berdoa agar Allah mempermudahkan jalanku untuk beribadah.
Semoga suatu hari nanti, aku mampu menjadi seorang muslimah yang solehah dan berjuang demi Islam yang tercinta. Pergilah wahai syaitan-syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia!
Ya Allah, Kau bantulah aku dalam perjuanganku untuk menjadi pejuang agama-Mu. Allahuakbar!
__________________________________________________________________________________
sebuah p'kongsian yg kukira amat m'beri kesan pd diriku ini..
yup, semua org dilahirkan dlm p'sekitran n ruang lingkup hidup yg b'beza..
& dlm pe'bezaan itu kita t'cari-cari akan p'samaan diri antr satu sama lain..
sekiranya b'beza, tentunya terasa 'awkward', strange or peculiar towards one another..
erm.....hard to be explained in details..mayb the one who'd had the experience could tell by just reading the material-i mean 4 those who'r not born into the adequate n proper environment of what it should be..
use our wisdom n knowledge to keep surviving in this really2 confusing and striving 4 whats best 4 us..
fikir2knlah..
~Lots of Love~
p/s: thanx 4 those who've shared the article on facebook ya..!

Monday, September 27, 2010

Air Mata Tidak Selamanya Abadi


Air Mata Tidak Selamanya Abadi

Senyum. Bahagia. Tenang.
Ke mana perginya hari-hari gelap itu? Hilangnya tidak disedari. Lesapnya tidak mengesankan lagi.
Alhamdulillah. Akhirnya, detik-detik hitam itu sudah berlalu.
Pasti. Semua orang pastinya pernah diuji dengan pelbagai jenis dugaan. Semua tak terkecuali.
Namun, tanda perhatian dan kasih sayang Allah pada hamba-hamba-Nya ini seringkali disalah tafsirkan sebagai kemusnahan, disalah ertikan sebagai perhentian terakhir hidup bagi mereka yang lemah akal dan jiwanya.
Tidak, aku tidak akan sekali-kali menyalahkan mereka. Kelemahan adalah sebahagian 'anggota' manusia, ketidaksempurnaan pula ada 'nama timangan' mereka.
Dulu, ada satu kisah tentang rama-rama. Sering aku kisahkan cerita ini pada mereka yang dirundum kesedihan.
Dengan kisah ini jualah, terselit sekelumit harapan untuk menyisip secebis kekuatan buat mereka yang lemah.
Memang, aku tidak mampu menyanyikan lagu 'Semangat Yang Hilang' untuk mengobarkan kembali semangat mereka, aku juga tidak dapat memberi preskripsi ubat untuk menghilangkan ingatan-ingatan buruk itu, malah aku tidak akan mungkin punya kuasa ajaib untuk mengubah takdir jika bukan diri mereka sendiri yang ingin bangkit mengubah segalanya.
Rama-rama bagiku cukup simbolik. Ia lambang perjuangan hidup. Ia terbang mengibarkan kepak warna-warninya yang indah dan memukau setiap mata yang memandang.
Namun, dulunya rama-rama ini tak lebih dari seekor beluncas.
Ya, seekor beluncas yang dibenci, dianggap perosak dan sering dijauhi.
Namun, kemudian berubah menjadi kepompong sebelum bertransformasi menjadi seekor rama-rama yang cantik.
Kisah rama-rama ini kisah benar, bukan rekayasa atau hikayat dongeng penuh fantasi tetapi lebih kepada teori logik, sebuah cerita saintifik.
Pernah, terdapat sekumpulan saintis sedang membuat kajian terhadap rama-rama. Mereka memerhatikan dengan teliti proses bagaimana seekor rama-rama keluar dari kepompongnya.
Ia kelihatan seperti kepayahan, terseksa untuk mengeluarkan diri.
Berjam-jam lamanya, rama-rama ini mencuba, mencuba, dan terus mencuba untuk keluar dari kepompong yang kecil itu.
Akhirnya, ia berhasil. Rama-rama ini pun terbang ke sana dan ke mari seolah-olah meraikan kebebasannya.
Saintis-saintis muda ini kemudian beralih kepada rama-rama yang lain.
Mereka sepakat untuk membantu mengeluarkan rama-rama ini dari kepompongnya dengan menggunting kepompong tersebut.
Rama-rama ini berhasil 'di'keluarkan dengan mudahnya.
Namun, tahukah kamu apa yang terjadi dengan rama-rama ini?
Tidak, ia tidak mati. Ia masih hidup, ia meneruskan hidupnya dalam keadaan cacat seumur hidup.
Ia tidak berupaya untuk terbang, tidak akan pernah mampu terbang seperti layaknya. Bukankah ini lebih malang?
Ternyata, segala kesukaran serta kepayahan ketika berusaha keluar dari kepompong itulah yang memberi kekuatan bagi seekor rama-rama untuk terbang.
Hakikatnya, apa yang tidak membunuh kita itulah yang melangsungkan kehidupan ini.Kita tidak akan kenal bahagia sebelum melalui sengsara, tidak kenal cinta sebelum faham erti benci, tidak menghargai senyuman tanpa air mata pedih.
Kitaran hidup ini perlu didalami, jatuh bangunnya, turun naiknya, takdir dan karma. Tentu, kata–kata ini sering kita dengar di mana-mana, "setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya".
Ini bukan kata-kata kosong yang palsu. Bukan. Tetapi, jangan pula tanyakan padaku, bila dan bagaimana?
Tetapi bersabarlah. Airmata tidak abadi, kering suatu masa nanti. Percayalah, keajaiban itu pasti ada.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap yang berlaku
.